Rencana2 MF


Tulisan2 yang pernah terbit dalam pelbagai media

Anda boleh menaja laman ini dengan sejumlah pemberian:

Seniman Kecil di segi tiga emas Kuala Lumpur

– Malaysiakini, 17 Dis 2023

“Seniman Kecil adalah sebuah inisiatif, untuk membawa pengalaman kreatif kepada setiap kanak-kanak”
– Adi
Kata-kata yang dimulai dengan "setiap kanak-kanak adalah seniman…" terlalu kerap diulang-ulang hingga loya tekak dan geli telinga seniman dan sesiapa yang berkecimpung dalam dunia seni visual.Mungkin Picasso sendiri mengolah kata-kata itu daripada guru lukisannya yang mendapat frasa ini daripada guru seninya. ...


Ketikan catan Amar Shahid dalam tiga babak

– Pameran Seni Ignis Familiaris oleh Amar Shahid, 15 Okt – 12 Nov 2023 @ Rimbun Dahan

“Sebuah catan memerlukan sedikit misteri, beberapa kekaburan dan sejumlah khayalan.”
– Edgar Degas
Bagi seorang seniman yang memperoleh pendidikan sekolah rendah vernakular Cina dan ilmu pengetahuan muzik, perlambangan (simbolisme) adalah konsep biasa bagi Amar Shahid. Dipilih sebagai finalis Bakat Muda Sezaman untuk dua tahun (2019 dan 2022) dan pemenang MEAA 2022 anjuran CIMB Foundation, Amar merenungi falsafah simbol sebagai inti pati dalam pameran baharunya, Ignis Familiaris. ...


Segar dan bugar dalam karya seni visual

– Pameran RE[FRESH] 2023 @ ASWARA

“Apa yang telah berlaku akan menjadi semula, apa yang telah dilakukan akan dilakukan lagi; tidak ada yang baharu di bawah matahari.” Itu yang dicatat dalam Kitab Perjanjian Lama (Ecclesiastes 1:9).Kata Plato pula, “Dua maupun tiga kali, seperti yang dikatakan orang, mengulang dan mengulas hal yang baik itu adalah kebaikan.”Kes COVID-19 di seluruh dunia mencecah 668,796,078 dengan kematian sejumlah 6,714, 170 orang. ...

Asal muasal

– Pameran Seni Bujukan Semilir (Feathering The Breeze) oleh Tengku Sabri Ibrahim, 30 Mac – 14 Apr 2020 @ Galeri Fergana

"Tahukah kamu, apa orang zaman dahulu buat apabila mereka punyai rahsia yang tidak mahu dikongsi? Mereka akan memanjat gunung-ganang, cari sebuah pohon, tebuk lubang di batangnya, bisikkan rahsia ke dalam lubang itu sebelum menutupnya dengan lumpur. Dengan cara itu, tidak ada sesiapa pun yang akan tahu perihal rahsia tersebut... "
– Tak (Satu dialog dalam filem 2046 arahan Wong Kar-Wai [2004])
Seni, satu perkara yang tak pernah ada sebelum adanya watak sang seniman yang mengaku itu ini begitu begini. Sebelum adanya seniman, ada pula cerita-cerita yang dijalin oleh moyang-moyang terdahulu. ...


Tipografi dan seni melawan

– akhbar Amanah bil. 13 (Ogos 2016)

Artikel ini ditulis dengan menggunakan fon (font) Times New Roman bersaiz 12. Ia akan berubah apabila disiarkan di dada akhbar, majalah atau portal internet. Pereka bentuk, atau tipografer mana-mana terbitan akan mengubah jenis fon artikel ini mengikut kehendak editornya.Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor menganjurkan Pesta Buku Selangor 2016 dari 28 Julai hingga 7 Ogos 2016. Namun demikian, didapati sambutannya amatlah lesu dan sendu sekali. Menurut pengalaman beberapa penggemar dan penggila buku (bibliofilia), bahkan tahun-tahun lepas ia sentiasa begitu. ...


Renung-renungan cinta dan revolusi

– Projek Dialog, 2 Apr 2013

"Pada suatu petang, Sal dan anak-anaknya berkumpul di ruang tamu untuk bermesyuarat tentang keruncingan belanja hidup mereka setelah tiga hari berturut-turut jualan makanan mereka di sebuah kantin di Bukit Timah Road, merosot kerana musim hujan. Sal kebingungan. Wang di tangannya cuma ada RM10 sahaja, jauh dari cukup untuk dijadikan modal jualan besok harinya. Wang sewa rumah bulan itu belum dilangsai. Kepala Sal betul-betul sudah pusing. Lalu anak-anaknya buat saranan: ‘Besok kita tak usah jualan, kita tunggu sampai hari tak hujan… Mak bolehlah berehat dulu…’"
– Petikan buku Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari. ...


Profil Pendek Penulis

M. Farez Karim ialah seorang usahawan seni (artrepreneur) yang adakala mereka bentuk grafik buku dan menulis puisi di platformnya sendiri, lima sajak. Beliau menubuhkan sebuah penerbitan mandiri Studio Kaukab sejak tahun 2013, yang telah menerbitkan lebih daripada 10 judul buku, kebanyakannya dalam genre sastera/puisi.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Kredit foto: Asmadi Wahab/Seniman Kecil

Seniman Kecil di segi tiga emas Kuala Lumpur

– Malaysiakini, 17 Dis 2023

“Seniman Kecil adalah sebuah inisiatif, untuk membawa pengalaman kreatif kepada setiap kanak-kanak”
- Adi
Kata-kata yang dimulai dengan "setiap kanak-kanak adalah seniman…" terlalu kerap diulang-ulang hingga loya tekak dan geli telinga seniman dan sesiapa yang berkecimpung dalam dunia seni visual.Mungkin Picasso sendiri mengolah kata-kata itu daripada guru lukisannya yang mendapat frasa ini daripada guru seninya. Ia kemudian bersambung-sambung sehinggakan rupa-rupanya ia berasal daripada mulut seorang pelukis zaman Paleolitik yang melukis dalam lorek simplistik kubisme di dinding-dinding gua di wilayah Indonesia purba. Mungkinlah.Di dalam kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, melalui Jalan Walter Granier, mengadap kompleks membeli-belah Lot 10, Fahrenheit88 (dahulu dikenali sebagai KL Plaza) dan Starhill yang setiap hujung minggu sesak, beroperasi sebuah ruang kreatif kecil untuk kanak-kanak meneroka dan berkarya.Ada bancuhan slime untuk dibentuk, ada kanvas untuk dicatan, ada ruang dinding untuk diconteng, ada kotak-kotak terpakai untuk dibina robot, ada gajet elektronik terpakai untuk dimain-peran (role-playing) mengikut khayalan ‘seniman naif’ seawal usia empat tahun.Jika kita membayangkan bangunan-bangunan pencakar langit yang macam tidak pernah siap itu seumpama raksasa Jalut, maka ruang kreatif di Jalan Walter Granier itu adalah susuk ‘Nabi Daud’ pada waktu kecil.Namun, ruang kreatif yang diberi nama Seniman Kecil itu bukanlah dibina untuk ‘berperang’ dengan bangunan konkrit di sekelilingnya.Seniman Kecil diasaskan oleh Asmadi Abdul Wahab atau dikenali sebagai Adi pada 2007. Dia mendapat inspirasi dan didikan seni daripada beberapa seniman terkenal tanah air seperti Allahyarham Rejabhad, Lat dan Allahyarham Yusof Gajah.Daripada ketiga-tiga legenda seni itu, Yusof Gajah lebih memberi pengaruh besar kepada Adi kerana tempoh perantisan antara mereka yang lebih lama.Selain Adi, seniman kontemporari lain yang pernah menerima tunjuk ajar daripada Yusof Gajah secara langsung atau tidak ialah Ringgo, Adeputra, Fathullah Luqman Yusuff, Jojo Yusof, dan Mie Mambo (sekarang dikenali Yeop Mie).Adi memulakan kerjayanya dalam dunia seni sebagai kartunis sambilan untuk majalah Gila-Gila sebelum terbabit dalam pembikinan siri animasi Jepun seperti Dragon Ball, Slam Dunk, Sailor Moon, Shoot dan Crying Freeman untuk produksi Toei Animation Jepun.Melalui pengalamannya itu, Adi ditawarkan oleh Raja Azmi Raja Sulaiman untuk menghasilkan komik biografi dan animasi Anak-Anak Sidek yang popular sekitar 1996.Awal 2000-an, Adi berjaya menghasilkan konsep siri animasinya sendiri yang berjudul Edy & Cici sebanyak 54 episod. Ia pernah disiarkan di RTM, Astro dan dibeli hak penyiaran untuk stesen TV luar negara.Pada 2002 - melalui bimbingan Yusof Gajah - Adi memenangi pertandingan The 13th Noma Concours for Picture Book Illustrations.
Bawa pengalaman buat kanak-kanak
Karyanya, The Red Cage mendapat pengiktirafan untuk dipamer di International Library of Children’s Literature di Tokyo, Jepun dan di Bibiana International House of Arts for Children di Bratislava, Slovakia.Sayangnya, The Red Cage tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbitan kecuali dalam bentuk katalog.Pada 2004, Adi berhijrah ke United Kingdom untuk meneruskan cita-cita seni khususnya bagi menambah pengetahuan dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak.Sekembalinya ke Malaysia, Adi banyak melibatkan diri dengan program-program anjuran Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) di bawah naungan Shahaneem Hanoum. Ia adalah usaha memartabatkan buku kanak-kanak tempatan ke peringkat antarabangsa.Seniman Kecil adalah usaha yang benihnya ditanam dan dipupuk oleh Adi secara mandiri, swadaya — sambil dibantu beberapa artis-sukarelawan lain, sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.Menurut Adi, Seniman Kecil adalah platform terbuka untuk semua kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang ekonomi. Misi Seniman Kecil ialah untuk membawa pengalaman kreatif kepada setiap kanak-kanak.Sejak 2007 mereka telah menjalankan pelbagai program kreatif melibatkan ribuan kanak-kanak di Taska, Tadika, sekolah, perpustakaan, hospital dan perkampungan orang asli.Hampir keseluruhan program dijalankan secara sukarela. Seniman Kecil tidak pernah memohon atau menerima dana secara langsung daripada mana-mana institusi kerajaan maupun swasta.“Seniman Kecil berusaha untuk kekal bebas dan berdikari,” kata Adi.Sebelum pandemik Covid-19, Adi menjalankan perniagaan asrama pengembara KLBackpacker.com di tengah ibu kota bagi menjana pendapatan.
Budi pekerti, kemanusiaan
Ia direka untuk membiaya program Seniman Kecil sebagai ruang kreatif, penempatan sukarelawan, rendezvous point para seniman dan pusat rangkaian antarabangsa.Segalanya bergerak seperti yang dirancang sehinggalah wabak Covid-19 menyerang seluruh dunia dan memusnahkan sumber pendapatan utama mereka.Pengisytiharan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan ketika itu yang berlanjutan selama lebih setahun meletakkan Seniman Kecil – seperti sektor komersial lain – dalam situasi yang sukar.Mereka tidak mampu mengekalkan platform kreatif dan menyediakan program seni kanak-kanak secara percuma. Pandemik memberi kesan yang terlalu besar untuk Seniman Kecil hadapi secara sendirian.Kita semua maklum tentang kepentingan seni kepada kanak-kanak. Seperti kata David Hockney: “Keinginan untuk melukis itu pasti terlalu kuat dalam diri kita, kerana kanak-kanak suka melakukannya.”Seni melukis, mewarna dan mereka bentuk adalah proses pendidikan asas untuk setiap manusia di samping mengenal huruf, membaca dan mengira.Pengajaran seni yang khusus (emphasis art) semenjak kecil berfungsi menajamkan minda kanak-kanak secara visual dan menanam falsafah ‘halus’ dalam diri mereka.Halus yang dimaksudkan boleh diterjemah kepada nilai kehalusan budi pekerti dalam sifat kemanusiaan.Melalui pendidikan seni, kanak-kanak dapat belajar melihat alam melalui kaca mata seorang ‘seniman’ sebagai pemerhati (noticers) yang tajam mata akalnya.Mereka belajar melihat dunia dengan pandangan yang unik lagi berbeza.Kanak-kanak diajar menjadi pemerhati dan pemikir yang mudah terkesan/tersentuh terhadap setiap perkara yang berlaku di persekitaran mereka.Pendidikan dan pengalaman seni kreatif yang dipupuk semenjak kanak-kanak secara tidak sedar berupaya membentuk hala tuju kerjaya mereka apabila dewasa.“Apabila kru Seniman Kecil sampai," kata Adi menceritakan pengalaman sewaktu Seniman Kecil menjalankan program di perkampungan Orang Asli di Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor, "sekumpulan kanak-kanak berlari jauh ke hujung jalan."Kata Adi, mereka mungkin tidak biasa melihat orang luar datang ke petempatan tersebut."Kami pun panggil mereka untuk menyertai program."Mengikut kata penyelaras program, kebanyakan anak-anak Orang Asli tak suka ke sekolah, namun dalam program kami, sebaliknya berlaku."Akhirnya seni dan kreativiti menyatukan kami. Kami dapat lihat kegembiraan di wajah mereka sewaktu asyik melukis di atas kertas,” katanya.


*Seniman Kecil masih menjalankan misi pendanaan awam (crowdfunding) untuk mengekalkan premis studio mereka di Jalan Walter Granier, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lawati Senimankecil.com
**Pautan asal boleh dibaca di sini.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Ketikan catan Amar Shahid dalam tiga babak

– Pameran Seni Ignis Familiaris oleh Amir Shahid, 15 Okt – 12 Nov 2023 @ Rimbun Dahan

“Sebuah catan memerlukan sedikit misteri, beberapa kekaburan dan sejumlah khayalan.”
– Edgar Degas
Bagi seorang seniman yang memperoleh pendidikan sekolah rendah vernakular Cina dan ilmu pengetahuan muzik, perlambangan (simbolisme) adalah konsep biasa bagi Amar Shahid. Dipilih sebagai finalis Bakat Muda Sezaman untuk dua tahun (2019 dan 2022) dan pemenang MEAA 2022 anjuran CIMB Foundation, Amar merenungi falsafah simbol sebagai inti pati dalam pameran baharunya, Ignis Familiaris. Dari lorekan aksara Cina – diabadikan namanya atas setiap karya dalam bentuk lilin tera setelah selesai untuk dibawa masuk pameran – yang membawa makna dan maksud tertentu serta rantaian nota-nota muzik yang memberi tanda nada dan masa, karya-karya Amar berselindung antara pembayang dan maksud. Dalam seni halus, ada daerah kelabu antara bayang dan maksud (tersurat vs tersirat, real vs surreal). Bak untaian filsafat Zen, ‘dedalu itu hijau, bunga itu merah,’ tetapi dalam kata-kata Zen yang lain, ‘bunga bukan merah, dedalu bukanlah hijau.’Persamaan antara seni fotografi dengan catan impresionisme, kedua-duanya bermain dengan cahaya. Fotografer ‘menangkap’ cahaya, manakala seorang pencatan impresionis ‘mencurahkan’ cahaya melalui sapuan berus. Satu petang saya berkunjung ke Rimbun Dahan untuk berkenalan dan menemu bual Amar. Setelah lebih kurang satu jam setengah, saya pun meminta diri untuk pulang. Perbualan kami berkisar tentang karya-karyanya untuk pameran Ignis Familiaris, selain topik-topik ringan yang lain. Seumpama struktur dalam seni penceritaan, saya membahagikan proses pengkaryaan Amar Shahid kepada tiga babak.
Babak I
Pelukis sebagai perakam masa. Camera obscura. Ia bermula dari pameran terdahulu, Tempus Fabrica, siri ini berlanjutan dalam Ignis Familiaris tetapi dengan nada yang berbeza. Amar memilih karya fotografi ayahnya sebagai sebuah cerita. Hasil ketikan kamera ayah dijadikan Amar sebagai sebuah representasi dalam menghasilkan karya bentuk baharu, mengubah tanda (semiotic) yang dihasilkan awalnya. Sesuatu yang asal mungkin bersifat peribadi, berubah untuk dipersembahkan kepada umum. Siri ini bukan sebuah gamitan ke zaman nostalgia, tegas Amar berkali-kali. Ia lebih kepada akademik. Satu usaha berunsur pedagogical.Alam benda sebagai simbol, simbol kemegahan, status manusia, tinggi-rendah golongan rakyat dari VVIP atas kayangan ke marhaen yang duduk bersila. Bagaimana seorang jurukamera sekitar 70-an ke 90-an, menghentikan masa dan mengabadikan detik-detik peristiwa yang dilaluinya sebagai hobi maupun kerjaya melalui kotak kamera, tergulung dalam jalur filem sebelum dicetak ke atas kertas foto. Selepas 30 tahun kemudian, karya fotografi lelaki itu disalin-catan oleh anaknya seorang seniman ke atas kanvas, dan dipamerkan – digantung ke dinding dalam sebuah ruang galeri seni.Rakaman peristiwa perkahwinan, dulang-dulang hantaran dan sirih junjung, aktiviti pelancongan dan urusan-urusan harian keluarga serta potret kakak sewaktu kecil, menjadi subjek utama. Masa berjalan, namun masa juga terhenti (seketika), apabila ditangkap melalui mekanisme kamera untuk tatapan generasi kemudian, menjadi token kenangan atau sumber rujukan. Foto-foto yang disimpan rapi di dalam album gambar, kemudiannya mengalami kelahiran semula, berubah bentuk rupa.Meniru komponen sebuah kamera yang terbahagi kepada beberapa bahagian dengan fungsi-fungsi tersendiri, anggota tubuh Amar bergerak dalam berkarya menghasilkan foto mengikut tradisi awal kerja-kerja ‘menggambar’ nenek moyang manusia, iaitu melukis dengan menggunakan kudrat tangan. Cahaya ‘ditangkap dan dicetak’ dengan lorek-lorek berus oleh jari-jemari.
Babak II
Tiba-tiba muncul gempa, tektonik makna teranjak (dalam konsep semantic shift). Simbol yang berubah maksud mengikut edaran zaman. Bagaimana foto yang membawa kenang-kenangan kemudian berubah sifatnya, membawa tanda atau petanda. Imej pelesit (katydid, bush cricket, nama saintifik Tettigoniidae) yang beberapa ketika muncul menghinggap atas kanvas sewaktu beresidensi di Rimbun Dahan dijadikan simbol yang mengganggu kesyahduan rasa nostalgia seorang khalayak (penulis merasainya). Dalam masyarakat Melayu, konflik kekeluargaan contohnya biasa dikaitkan dengan gangguan alam jin dan bunian (twilight zone) yang misteri, satu keadaan yang sukar dijelaskan, berunsur mimpi dan halusinasi, antara realiti dan fantasi. Kehadiran pelesit merupakan petanda.Warna cerah dan silau kesan dari overexposure di atas filem dipindahkan secermat mungkin oleh Amar ke atas kanvas. Ketelitian palitan warna minyak dijaga sehabis baik, namun masih dalam bentuk semi-abstrak. ‘Seniman yang mencari kesempurnaan, adalah mereka yang tidak mencapainya dalam semua perkara,’ kata Eugène Delacroix. Bagaimana kamera diketik, begitu jemari memalit warna. Bancuhan merah lembayung (magenta) dan sian (cyan) diadun seolah kita menatap cetakan foto lama yang dibesarkan dalam Mother and Child in Magenta and Cyan. Seolah déjà vu, tingkah laku berulang di antara ayah dan anaknya. Memori genetik yang diperturun oleh leluhur. Inilah detiknya kedua-dua zaman saling berpelukan. Lalu mencetus sebuah keintiman rasa. Ignis Familiaris. Ia terbakar dan menyala.Catan yang underexposure memberi rasa berlawanan. Bagaimana muram dan suram juga adalah kebalikan kepada suka dan teruja. Di bawah bumbung sebuah rumah, setiap keluarga akan mengalami kedua-duanya, peristiwa suka dan sedih, bahagia disulam derita. Kelahiran seorang bayi dan kematian salah seorang penghuninya. Imej yang kabur mengundang misteri dan seribu persoalan. Tidak semua persoalan harus terjawab. Siluet seorang wanita yang sedang meriba bayi di lapangan terbang dalam Limbo dengan efek cahaya belakang (backlight) membawa saya ke rasa ‘kabur’ itu. Menurut Amar itu adalah ibu dan adiknya.Dimamah oleh masa, kesan fotodegradasi bahan kimia asid di atas foto menyebabkan warna sepia dan coklat kekuningan menyebar dan ‘terpercik’ di beberapa tempat permukaan kanvas dan Amar memelihara ‘kerosakan’ ini, seperti pameran terdahulu Tempus Fabrica beliau ‘merawat’ kerosakan dengan sapuan emas kerajang. Di acara lelongan awam dan pasar-pasar karat, objek-objek antik tetap bernilai tinggi melawan hukum ekonomi – lengkung permintaan dengan pengeluaran. Namun, dalam pameran Ignis Familiaris tiada kelihatan elemen kintsugi. Yang ada lapisan resin epoksi. Ia mematikan warna minyak di atas kanvas sebelum ditindan dengan objek baharu, serangga ‘pelesit’ tadi.Matahari, planet Marikh dan bintang Kejora ‘terbit’ di dalam From Dusk, Till Dawn dan Idle/Venus bukan secara semberono. Kemungkinan, siri catan ini adalah sebuah ‘bimasakti’ yang sentiasa menyelubungi Amar sejak kecil hingga dewasa. Ledakan gas yang melahirkan bintang-bintang di angkasa dan meleduk membentuk lohong hitam. Letupan (rasa) yang menghapuskan, juga berupaya menghidupkan. Bintang dan planet diposisikan setiap satunya dalam komposisi yang seimbang di atas kanvas yang melebar panjang. Anjakan semantik adalah konfrontasi yang mencetus konflik, dan setiap pertentangan bisa berakhir dengan ketenteraman. Berdamai dengan takdir misalnya.
Babak III
Seperti sebuah cerita yang mempunyai babak awal, pertengahan dan akhir, pengkaryaan Amar boleh juga dilihat dari sudut pandang ini. Pengamal seni tahu bahawa kerja-kerja seni takkan pernah habis bertemu noktah, adakala ia dilihat sebagai sebuah ‘lingkaran’ proses. Namun, produk akhir sesebuah karya sentiasa dinanti dengan penuh ghairah oleh khalayak, baik pengunjung galeri, kolektor ataupun mungkin beratus tahun lagi oleh seorang kanak-kanak yang asyik maksyuk mengamati karya Amar dari jarak dia berdiri.Mengikut ‘struktur tiga babak’, dari ‘tempus’ kemudian ke ‘ignis’, Amar (dan hampir kesemua artis) mendaki sebuah gunung yang sama. Mungkin kemunculan plot twist akan mencengangkan khalayak. Sekonyong-konyong muncul ‘deus ex machina’ di atas gunung tersebut untuk mengejutkan ‘familia’?Atau, biar saja ia menjadi kabur dan menuruti jalan (act) yang lebih aneh. Dalam kehidupan, elemen ketidakpastian itu lebih kudus dan sentiasa memberi kelegaan. Ingatan saya kembali ketika pertama kali bersalaman dengan Amar di Rimbun Dahan. Kerna ingin mengenalinya, maka saya kosongkan seribu andaian menjadi tabula rasa.


*Tulisan ini terbit dalam e-katalog pameran Ignis Familiaris untuk penulisan dalam bahasa Melayu. Penulisan dalam bahasa Inggeris ditulis oleh Nazrul Hamzah. Info lanjut tentang pameran boleh dibaca di sini.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Segar dan bugar dalam karya seni visual

– Pameran RE[FRESH] 2023 @ ASWARA

“Apa yang telah berlaku akan menjadi semula, apa yang telah dilakukan akan dilakukan lagi; tidak ada yang baharu di bawah matahari.” Itu yang dicatat dalam Kitab Perjanjian Lama (Ecclesiastes 1:9).Kata Plato pula, “Dua maupun tiga kali, seperti yang dikatakan orang, mengulang dan mengulas hal yang baik itu adalah kebaikan.”Kes COVID-19 di seluruh dunia mencecah 668,796,078 dengan kematian sejumlah 6,714, 170 orang . Rakyat Malaysia diperintahkan duduk di rumah dengan tanda pagar ‘stay at home’ semenjak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020, kemudian berfasa-fasa ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyebabkan masa total kita dikurung di dalam rumah adalah satu (1) tahun, tujuh (7) bulan dan dua (2) minggu.Sebagai seniman, apa yang dilakukan tatkala dikurung? Bermalas-malasan atau menghasilkan karya lukisan: melukis, mencatan, mencetak, menampal, menggolek, mencalit, mempalit, merenjis, menitik – atau berdiam diri dan jatuh termendap ke dasar menjadi keladak? Sekiranya berdiam sambil asyik membaca, itu perkara yang bagus, terutamanya untuk berfikir dan menyusun langkah-langkah seterusnya.Bagi pelajar jurusan seni visual, atau lebih sesuai dipanggil art & design (seni lukis & seni reka), ujian yang mengekang kebebasan pastinya memungkinkan pelbagai cabang penyelesaian untuk mencari jalan keluar. Seniman bisa memandang sudut-sudut blindspot yang khalayak awam tidak perasan. Biasa dengar dari mulut pensyarah-pensyarah akademik baik kesenian maupun sastera, perlu tahu undang-undang (bentuk-struktur-hukum) untuk melanggar undang-undang. Sekiranya tidak tahu hukum, semberono dan asal bolehlah hasilnya.Pameran RE[FRESH] anjuran ASWARA ini menghimpunkan sejumlah 40 pengkarya para pelajar jurusan Seni Visual daripada 18 buah IPTA/IPTS tempatan. RE[FRESH] bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang seni visual serta mengetengahkan idea-idea kreatif mereka. Pameran ini boleh diakses melalui platform dalam talian ARTSTEPS.Ada sembilan kategori karya dalam pameran RE[FRESH] ini; catan, lukisan, arca, diorama, fotografi, instalasi, media baharu, cetakan, dan seni digital (digital art). Sudah pasti kategori catan dan lukisan merupakan medium yang paling popular berbanding yang lain. Tapi hakikat ini tidak membuktikan bahawa catan dan lukisan itu lebih tinggi tahap keseniannya. Lukisan, maupun catan adalah bentuk kemahiran asas bagi setiap pelajar seni visual sebelum mereka mengembangkan bakat seni ke medium atau format lain yang diminati.
Aral yang Melintang
Kerana hidup itu satu kurnia yang ditulis takdirnya oleh Tuhan, maka setiap manusia akan diuji, bahkan seniman pun tidak terlepas daripadanya. Tak ada mulianya sebarang jawatan atau kerjaya manusia melainkan dipandang melalui amal-amal baik yang dilakukan. Seni (dengan S huruf besar) itu sendiri pun sebenarnya tidak ada. Yang ada hanyalah seniman.Dalam sejarah seni, kita maklum perihal segelintir seniman masters yang berkarya dalam rasa sakit dan kesakitan mereka itu tidak menghalang minda dan anggota badan untuk bekerja – melakar bila-bila dan di mana-mana saja.Pelukis Perancis, Henri Matisse pada sekitar akhir 1940-an mereka bentuk Chapelle du Rosaire de Vence sambil berbaring di katilnya setelah menjalani beberapa rawatan akibat sakit kanser perut.Frida Kahlo juga diketahui menderita polio seawal usia enam tahun, dan 12 tahun kemudiannya beliau ditimpa pula kemalangan jalan raya. Tulang-tulangnya mengalami kepatahan, dan keadaan tulang belakangnya juga teruk hinggakan selepas itu beliau terpaksa memakai korset. Beliau juga mencatan dari katil sewaktu proses penyembuhan menggunakan easel yang direka khusus untuknya, dan disediakan cermin untuk beliau hasilkan lukisan potret diri.Jikalau perupa tempatan, peribadi seniman Tengku Sabri Ibrahim seorang pengarca kayu boleh dijadikan contoh. Akibat diserang angin ahmar pada penghujung 2014, beliau terhalang untuk menggunakan kedua-dua belah tangan menghasilkan arca. Namun begitu, dengan bantuan seorang artis muda bernama Mat Ramli Mansor (Che Mat), beliau menterjemahkan ideanya, melalui lakaran dengan tangan kanan dan ‘ucapan mulut’ yang kemudian menjadi sejumlah siri arca dan terlibat dalam beberapa pameran seni berkumpulan, serta berhasil pula mengadakan sebuah pameran solo Bujukan Semilir (Feathering the Breeze) yang dikurasikan oleh Galeri Fergana pada Oktober 2020.
Refleksi dan Menyambung Semula
Membaca pernyataan karya Jorge Lim Yi Cheng; “Sometimes, you just tend to overthink things even when they’re not important. But as these thoughts pile up, one on top of another, things start to get murky. You contemplate and question every decision you make and slowly, it almost ‘strangles’ you. But as humans, it is our natural instinct to look for a solution; to look for a way out.” Naluri kemanusiaan sentiasa mencari jalan. Ini akar eksistensialisme. ‘Kebolehan untuk memahami dan menimbangtara perkara-perkara berunsur falsafah yang berkaitan dengan kewujudan Tuhan dan fitrah makhluk.’ Karyanya dalam medium foto digital berjudul A Way Out, bersaiz 1920 x 1080 piksel (per imej). Saya berasakan karya ini merupakan secebis adegan daripada sebuah filem autobiografi Jorge sendiri, seumpama The Fabelmans (2022) itu adalah kisah hidup Steven Spielberg yang dicerekakan.Muhd Afiq Izzudin menulis deskripsi karyanya berjudul Untill When’, sebuah arca berbentuk kepala badak sumbu yang diperbuat daripada batang keluli; “The artist aims to address the growing extinction crisis by creating this artwork. As a result, the researcher has brought up the subject of animal extinction as a result of excessive demand in his work. Numerous wild species are now facing extinction and are getting more and more vulnerable. This is due to a number of issues, including illicit logging and poaching as well as the strong demand for unusual cuisine…” Dari karyanya, naluri kemanusiaan itu jika tidak disekat, akan bertindak melampau dan berupaya menyebabkan kepupusan makhluk haiwan yang kewujudannya adalah untuk mengimbangi ekosistem kehidupan. Kepedulian seniman terhadap isu alam sekitar, adalah kesegaran yang berulang tumbuh melampaui segala isme-isme dan angkatan/gerakan seni rupa yang pernah tertubuh sejak dulu lagi. Maknanya, karya seni seorang artis itu sendiri berupaya memberi iktibar dan pengajaran (bukan sekadar moraliti) tanpa syarahan dan didaktik yang membosankan.Menyentuh seni fotografi sebagai seni halus, nama-nama perintis seperti John Jabez Edwin Mayall, Alfred Stieglitz, dan Diane Arbus contohnya pasti menjadi rujukan para seniman fotografi kontemporari. Mata merupakan jendela kepada jiwa. Mata membawa segala perasaan untuk dihantar sebagai makna tertentu kepada khalayak. Amin Mohammad Azman melalui karyanya, Seksa memilih mata sebagai subjek utama manakala Umai oleh Richard John pula ‘dihilangkan’ mata diganti dengan pergelangan tangan sebagai titik fokus. Selain itu, Ali Naqiuddin dan Idza Maisarah memilih subjek berbeza melalui Thirst Drop dan Nature Potion. Komposisi dan pencahayaan adalah antara elemen yang penting bagi seni fotografi.Ada keterkaitan rasa antara karya akrilik atas kanvas oleh Fong Tzee Chienn bertajuk Invasion (3 x 4 kaki) dengan karya instalasi Can You Survive? (121.92 x 61 cm) oleh Aiman Rusdi bin Roslan. Kedua-dua karya ini mengembalikan ingatan saya ke era pandemik C-19 awal 2020 dahulu. Kita semua mengalaminya dan berdoa supaya tahun-tahun wabak sebegitu itu tidak lagi berulang.Saya meletakkan (di paparan skrin komputer) karya Kelly Tee Ken Yi, Childhood Memories (3 x 4 kaki) bersebelahan dengan Puteri Ulek Mayang (3 x 4 kaki) karya Siti Amiera Balqis binti Mohamed Noor Jalaluddin. Palitan berus Siti Amiera sudah pasti tak sama dengan Kelly. Begitu juga dengan skema warna pilihan mereka. Tapi, memori dan rakaman visual mereka berdua berupaya membawa saya ke zaman kanak-kanak, walaupun saya bukan orang Kelantan yang pernah menonton persembahan Ulek Mayang sewaktu kecil dahulu. Mungkin kekuatan visual tema tradisi vis a vis moden, dan sebagai golongan Generasi X, kami mengalami dua rakaman peristiwa yang saling kontra dek pantasnya peredaran zaman.Karya digital Embracing Nature oleh Nur Dania binti Sharulnizam dan Dickson Roger Marklen, The Uniqueness of Color Combination (42 x 59.4 cm) ini merupakan contoh karya yang ‘manis’ dipandang. Kemanisan (sweetness) ini bagi saya bukan sekadar menyentuh bab estetika dan ‘mudah dijual’ (saleable). Skema warna dan gaya yang diangkat generasi pelajar seni visual kini adalah kesinambungan dari era meledaknya karya-karya grafik di platform DeviantArt sekitar awal 2000 dahulu, maka seni grafik juga berupaya menjadikan seseorang pelajar cekap membawa diri di alam kerjaya dalam pelbagai bidang industri – menjadi artis multi-discipline sekiranya mereka sudah kecewa jadi seniman sepenuh masa. Ini bukan satu bentuk kata-kata pesimis. Anggaplah sebagai kata-kata nasihat dari seorang pensyarah seni di institusi anda.Ibtida’, atau secara harfiahnya dalam bahasa Melayu bermaksud ‘permulaan’ karya Haris Hamir menghimpunkan sejumlah ilustrasi dan catan potret pelbagai saiz. Ada watak-watak dalam komik/filem, potret selebriti dan artis, tengkorak, kucing dan monyet menyarung helmet angkasawan – dalam mood hitam-putih, sinar cahaya neon yang dalam gemerlap malap jatuh dari atas dan dari sisi wajah subjek, adalah selonggok lakaran-lakaran (sketches) awal yang disusun untuk membina satu ‘mahakarya’ (mungkin?) – seumpama sebuah cerita yang digarap melalui bahasa sinematik yang tersendiri. Bukankah filem itu sendiri merupakan kesinambungan lukisan/catan yang bergerak slaid demi slaid?Mengamati diorama karya Nur Nahida binti Shahrul Nizam yang berjudul Mana Hutan (saiz pelbagai) ini juga menyentuh isu seperti karya Muhd Afiz di atas. Cumanya, karya diorama perlukan penelitian yang lebih sebab ia merupakan sebuah medium tiga dimensi bagai seorang arkitek membina sebuah mahakarya. Disebabkan babak diorama yang dikhususkan untuk kanak-kanak 5-10 tahun bagi tujuan pendidikan, makanya hal-hal perincian tadi boleh diketepikan sejenak. Mungkin Nur Nahida cuba sejujur mungkin menjiwai perspektif seorang kanak-kanak, kenaifan juga satu bentuk seni yang kudus, dan pasti menyegarkan.
Matari Tetap Bersinar
Kebelakangan ini, isu karya seni AI contohnya melalui aplikasi Midjourney, Dall-E 2, dan Stable Diffusion menjadi sohor kini dalam kalangan penggiat seni visual. Ada yang mengatakan gejala ini seiring dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri Ke-4 (IR 4.0). Mereka yang berbeza pendapat menuduh seni AI ini tak lebih daripada satu bentuk plagiarisme yang berteknologi tinggi. Didapati imej-imej yang dibentuk adalah ‘dicuplik tanpa kebenaran’ hasil karya artis ‘sebenar’ lain yang banyak memuatnaik karya ke laman maya. Lagaknya sebuah ‘seniman-mesin’ yang membuat kolaj berlapis-lapis hasil cantuman pelbagai ilustrasi dan diubahsuai mengikut algorithma dan 'kreativiti' mesin tersebut. Para pelajar seni visual perlu mengkaji dan mengulangkaji tentang fenomena seni AI ini, apa kesannya ke atas masa depan mereka, yang akan bergraduasi dan menceburkan diri ke dalam dunia seni visual baik lokal maupun di peringkat antarabangsa. Apakah seseorang itu boleh digelar artis jika sekadar menaip arahan melalui prompt (input teks) sebelum menjelma karya yang dihasilkan aplikasi AI tadi? Jika begitu, apa akan jadi kepada seniman yang tangannya cekap dan mahir membuat lukisan dan catan secara fizikal, waima atas tablet digital? Mustahil mereka tidak ada masa depan (kerjaya), jika mereka menggembleng usaha.Refresh yang merupakan satu proses penyegaran itu satu permulaan semula (restart) dari titik awal yang kaku, ia perlukan refleksi (reflect) satu proses merenung kembali ke dalam diri, ke mana arah tuju seorang seniman? Ke hadapan-belakang-kiri-kanan, atau berlegar-legar dalam bulatan.


Rujukan:
1. COVID-19 CORONAVIRUS PANDEMIC. https://www.worldometers.info/coronavirus/ Capaian pada 9 Januari 2023.
2. E.H. Gombrich, The Story of Art, Phaidon, 1968, h. 5.
3. Tengku Sabri Ibrahim, Bujukan Semilir/Feathering the Breeze, Fergana Art, 2020.
4. An A.I.-Generated Picture Won an Art Prize. Artists Aren’t Happy https://www.nytimes.com/2022/09/02/technology/ai-artificial-intelligence-artists.html Capaian pada 10 Januari 2023.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Asal muasal

– Pameran Seni Bujukan Semilir (Feathering The Breeze) oleh Tengku Sabri Ibrahim, 30 Mac – 14 Apr 2020 @ Galeri Fergana

"Tahukah kamu, apa orang zaman dahulu buat apabila mereka punyai rahsia yang tidak mahu dikongsi? Mereka akan memanjat gunung-ganang, cari sebuah pohon, tebuk lubang di batangnya, bisikkan rahsia ke dalam lubang itu sebelum menutupnya dengan lumpur. Dengan cara itu, tidak ada sesiapa pun yang akan tahu perihal rahsia tersebut... "
– Tak (Satu dialog dalam filem 2046 arahan Wong Kar-Wai [2004])
Seni, satu perkara yang tak pernah ada sebelum adanya watak sang seniman yang mengaku itu ini begitu begini. Sebelum adanya seniman, ada pula cerita-cerita yang dijalin oleh moyang-moyang terdahulu. Seni mungkin terbit dari kata Sanskrit dari benua India, mungkin juga ia bermakna halus seperti halnya 'hidupan seni'. Wallahua'lam. Tiada cerita, tiadalah seni. Tak berseni, maka cerita juga tak menarik. Orang pun tak akan tertarik. Aku fikir begitulah.Mendalami seni bermaksud menolak kecetekan pemikiran. Berkreatif itu seumpama menebar satu jala ke lautan khalayak (yang terkhali) untuk menangkap hasil supaya memberi manfaat. Umpannya adalah ilmu, fikiran, pembacaan, renungan; baik teknik atau filsafatnya. Kerna 'kreatif' itu adalah salah satu daripada sifat Tuhan, yang Maha Mencipta maka seniman seringkali diduga dengan persoalan-persoalan besar, 'Hebatkah aku?' seperti konsep dan persoalan übermensch si Nietzsche. Di era Data Besar ini, alam maya sebagai tempurung jaringan media sosial, seorang instagrammer atau twitterian sedang bermuhasabah, berapa likes dan retweet post aku tadi? Follower aku makin bertambah atau berkurang? Adakah aku akan mengecap kebahagiaan hakiki? Adakah aku akan mencapai moksha, maupun setitik sari pati nirvana?Berbicara hal estetika atau etika, orang Melayu (Malaysia) yang hidung penyetnya masih dicucuk terbelenggu seperti lembu dan burung kakak tua masih mabuk mengulang, mendengung semula dari lidah dan mind(a) orang putih, berhujah mengikut neraca pemahaman tamadun imperialis. Seperti ketakutan netizen terhadap gejala Arabisasi, gejala Westernisasi dalam seni dan falsafah juga kebanyakan orang kita selalu terlepas pandang. Orang kita? Dalam The Irishman (2019) arahan Martin Scorsese, istilah 'orang kita' atau 'orang kamu' itu dianggap sebagai satu hinaan perkauman terhadap orang Itali yang berhijrah ke Amerika. Nak buat gimana? 'Estetika' dan 'etika' itu sendiri pun kata pinjaman. Orang kita punyai istilah dipanggil cantik, indah, elok, permai ala syurgaloka tinggi citarasanya dan lawannya pula buruk, hodoh, jelik lagi merepek. Kita ada tatacara hidup, undang-undang dan kerukunan dalam masyarakat. Agama diturunkan melalui wahyu untuk membezakan haram dan halal, baik dan buruk. Maka seni patut juga memisahkan antara hal yang indah rupawan dengan karya yang cincai amat. Inilah asal-muasal datangnya cerita. Agama turun melalui riwayat cerita, kitab para raja (Sulalatus Salatin, Pararaton dll.) dahulukala dikarang dan dijilid untuk didodoi kepada rakyat marhaen supaya kagum dan akur dengan kebesaran kuasa para penguasa. Seni juga adalah cerita demi cerita, tidak pun cerita dalam cerita. Cerita berlapis cerita.Apa cerita? Sahibul hikayat (sang empunya cerita), pada dahulukala ada si polan bercinta berahi dengan anak si anu di negeri antah-berantah. Cerita ini amatlah purbakala, hendak dikarang dan dibukukan tak mampu dek kudrat manusia kerna terlalu panjang dan berlapis-lapis ia jika disusun dari puncak gunung Kinabalu hingga ke lubuk terdalam laut Champa masih belum tamat ianya. Oleh demikian, maka cerita ini dihafal oleh tukang cerita, penganyam tikar cerita, pengukir kerawang diraja, penglipur lara, tok dalang, awang batil, makyong dan pakyong seluruh tanah sunda nusantara alam dunia juga alam ghaib (jin) dengan harapan cerita ini sampai ke satu generasi kemudian yang akan memecahkan kod-kod genetiknya, falsafah dan ajaran yang tersirat di dalamnya lalu dapat pula mereka menyebarluaskan lagi (sharing, tagging) ke seluruh jagat raya di luar cakerawala kerana seperti moyang-moyang terdahulu yang bijak lagi arif dalam ilmu kaji bintangnya, manusia seharusnya percaya cerita bukan habis setakat di dunia sahaja. Ada lagi di sebalik dinding (wall) itu.Ada cerita asli dari daerah asal yang hilang di pertengahan jalan akibat tangan manusia yang memadamnya.


Nota Kaki:
1. Cerita tentang 'bisikan rahsia' ini terdapat dalam kisah-kisah dongeng rakyat di serata dunia antaranya Midas (Greek), Raja Trojan Si Telinga Kambing (Serbia), Raja Bertelinga Kuda (Ireland), Telinga March (Wales), Budak Bertelinga Lembu (India), dan Penghulu yang Bertanduk (Filipina).
2. übermensch : bahasa Jerman bagi "melampaui manusia" atau "manusia atasan", daripada über "atas" + Mensch "manusia"; merupakan satu konsep dalam falsafah Friedrich Nietzsche. Dalam bukunya Also sprach Zarathustra terbit tahun 1883, Nietzsche menggambarkan wataknya bernama Zarathustra yang menganjurkan Übermensch sebagai tujuan setiap manusia. Ia merupakan karya alegori falsafah yang serupa strukturnya dengan kitab Gathas hasil karya Zoroaster/Zarathustra.
3. Pararaton : (bahasa Kawi: "Kitab Raja-Raja") adalah sebuah kitab Sastera Jawa Pertengahan yang dikarang dalam bahasa Jawa Kawi. Naskah ini cukup singkat, berupa 32 halaman berukuran folio terdiri dari 1126 baris. Isinya adalah sejarah raja-raja Singhasari dan Majapahit di Jawa Timur. Kitab ini juga dikenali sebagai nama "Pustaka Raja" dalam bahasa Sanskrit juga bererti "kitab raja-raja". Tidak terdapat catatan yang menceritakan siapa penulis asal Pararaton.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Poster solidariti Palestin, karya penulis (2024).

Tipografi dan seni melawan

– akhbar Amanah bil. 13 (Ogos 2016)

Artikel ini ditulis dengan menggunakan fon (font) Times New Roman bersaiz 12. Ia akan berubah apabila disiarkan di dada akhbar, majalah atau portal internet. Pereka bentuk, atau tipografer mana-mana terbitan akan mengubah jenis fon artikel ini mengikut kehendak editornya.Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor menganjurkan Pesta Buku Selangor 2016 dari 28 Julai hingga 7 Ogos 2016. Namun demikian, didapati sambutannya amatlah lesu dan sendu sekali. Menurut pengalaman beberapa penggemar dan penggila buku (bibliofilia), bahkan tahun-tahun lepas ia sentiasa begitu. Hei, ini pesta bukulah! Bukan pesta jual tudung atau ekspo perkahwinan. Berapakah jumlah pembaca tegar dari kalangan rakyat Malaysia tahun demi tahun dan berapa jumlah buku secara purata dibaca oleh rakyat dalam setahun? Lebih-lebih lagi buku Bahasa Melayu? Bezakan dengan pesta buku Big Bad Wolf yang dianjurkan oleh usahawan buku Cina. Tapi kita perlu maklum, tamadun Cinalah yang pertamanya mencipta kertas sebagai medium untuk kita semua membaca sekarang. 'Sutra Berlian' (Diamond Sutra) dikenali sebagai naskhah buku paling tua dicetak di atas mukabumi, sekitar tahun 868. Ia dicetak dengan menggunakan blok-blok huruf yang diukir atas kayu kemudiannya dicap ke atas kertas. Malahan, segulung manuskrip yang ditemui di Korea pada tahun 1967 dikatakan dicetak beberapa ratus tahun lebih awal daripadanya. Tidak hairanlah Tuhan jadikan DNA kaum Cina itu lebih cenderung untuk minat membaca berbanding bangsa-bangsa lain seluruh dunia. Mereka juga merupakan bangsa yang berani menceburkan diri dalam keusahawanan. Bukan dari segi faktor biologi. Apa yang saya cuba maksudkan ialah dari segi faktor budaya. Budaya membaca. Pemikiran yang disemai sejak kecil bermula dari dalam keluarga.Berbalik kepada seni pencetakan dan reka bentuk buku, atau lebih sesuai disebut tipografi. Tipografi bermula serentak dengan penciptaan tulisan. Manakala seni pencetakan yakni mencetak buku itu bermula apabila minat membaca meningkat di kalangan orang awam dan buku menjadi mudah dimiliki. Memang pada zaman dahulu buku adalah barang yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh golongan elit. Selepas Revolusi Industri baharulah ilmu (baca: buku) menjadi semakin mudah dan murah untuk dicapai oleh khalayak. Ada dua faktor yang mencetus perkembangan seni tipografi, bermulanya di Eropah. Pertamanya, keseronokan. Sebagai seniman dan pereka bentuk, sejak dari dulu lagi hinggalah sekarang golongan ini sentiasa bangga dan teruja apabila hasil karya mereka dicetak ke atas buku, dipamer di galeri dan muzium serta menjadi koleksi yang menjadi rebutan ramai. Sebab kedua pula ialah kualiti. Dalam seni muzik, lukisan mahupun tipografi, kesemua seniman berlumba-lumba untuk menggapai kemasyhuran dan mendapat tempat yang paling tinggi dalam memenuhi cita rasa para khalayak.Bagaimana huruf dicetak di atas kertas? Teknik pencetakan blok kayu awalnya bermula di sebelah dunia Timur, sejarawan berbeza pendapat sama ada di Cina ataupun Korea. Walau bagaimanapun, teknik tersebut lebih sesuai dan praktikal untuk aksara Cina yang menggunakan sistem simbol berbanding aksara rumi (juga Arab, Jawi) yang ditulis mengikut hukum huruf (alphabet). Penulis dan penerbit buku era sekarang patut berterima kasih kepada seorang rakyat Jerman, Johannes Gutenberg (1398-1468) dari kota Mainz. Beliau asalnya seorang pandai besi. Sekitar akhir 1450-an, beliau berjaya mencipta mesin cetak jenis taip cerai (movable type) kemungkinan setelah berbelas tahun bereksperimen dengan kegagalan. Mesin jenis ini sangat praktikal dan menjimatkan masa serta tenaga kerana ia menyusun huruf-huruf fonetik dalam sebuah bingkai khas satu per satu untuk membentuk perkataan demi perkataan sebelum dicetak ke atas helaian kertas. Mesin cetak Gutenberg diubahsuai daripada rekabentuk mesin penekan anggur untuk membuat arak dan mesin menekan kertas (paper press machine). Sebagai seorang tukang besi, Gutenberg sudah pasti arif tentang campuran besi aloi kerana dia biasa membentuk kepingan syiling emas, dan mengecap surat serta imej dari besi. Untuk acuan huruf, beliau menggunakan campuran timah (tin), antimoni dan timah hitam (lead). Dalam dunia tipografi, istilah 'leading' (jarak antara baris, sekarang dikenali line spacing) berasal daripada teknik meletakkan jaluran timah hitam (lead) untuk memisah baris setiap ayat.Mahakarya Gutenberg yang masih kekal hingga sekarang adalah kitab Bible (Biblia Sacra), dicetak 42 baris bagi setiap muka surat. Fon yang digunakannya ialah 'black letter'. Ia dinamakan demikian kerana warna hitam yang lebih dominan. Unjuran yang menjulur dari coret hurufnya tidak terlalu panjang berbanding tulisan serif yang lain. Fon ini lebih dikenali sebagai 'lukisan' daripada sebuah 'tulisan'. Atas sebab-sebab politik dan keagamaan, ia pernah diboikot oleh tipografer England dan Perancis. Kemudian 'black letter' diganti secara beransur-ansur kepada tulisan rumi (roman) yang semakin mendapat tempat di kalangan tipografer dan pencetak Eropah. Sejak era Romantisisme lagi fon Fraktur disukai rakyat Jerman dan diguna untuk menulis dalam Jerman, manakala Antiqua untuk tulisan Latin. Kedua-duanya adalah dari jenis 'black letter'. Otto von Bismarck pernah memulangkan kembali buku Jerman dalam tulisan Antiqua yang dihadiahkan kepadanya dengan nota tambahan, 'Saya tidak membaca buku Jerman yang ditulis dalam tulisan Latin'. Pada 4 Mei 1911, Persatuan Tulisan Lama (Society for Old-Script) menghantar cadangan untuk menggunakan fon Antiqua sebagai fon rasmi Jerman. Namun demikian, selepas perdebatan yang hangat, fon itu ditolak dengan keputusan undi 85-82. Di era pemerintahan Nazi, fon Fraktur diguna secara meluas dan pihak media dikerah untuk menggunakannya sebagai fon sebenar masyarakat Jerman. Walaupun begitu, pada tahun 1941 pemerintah Nazi mengubah pendirian untuk bertukar semula ke fon Antiqua. Perintah pengharaman fon Fraktur ditandatangani oleh Martin Bormann, Setiausaha Peribadi Hitler, atas alasan fon itu adalah tulisan orang Yahudi. Arahan ini berkemungkinan besar datangnya dari Menteri Propaganda Joseph Goebbels kerana pada ketika itu Jerman banyak mencetak penerbitan untuk wilayah jajahannya yang lebih biasa membaca dalam tulisan Latin Antiqua. Terdapat teori lain menyatakan fon itu lebih digemari oleh Adolf Hitler berbanding Fraktur berdasarkan deklarasi yang ditandatanganinya di Reichstag pada tahun 1934. Sehingga kini, kebiasaannya semua jenis 'black letter' disebut sebagai fon Fraktur ataupun Gothic.
BAHASA VISUAL YANG KERAS DAN MELAWAN
Golongan seniman adakalanya, tidak sedar atau buat-buat tak sedar bahawa mereka sedang 'melawan' kekuasaan dalam lapangan seni visual. Selain penulis, seniman (artis grafik) juga menggunakan mata pena (pensel, berus, Wacom) untuk menentang tirani - atau sebagai jentera propaganda membela pemerintah. Bezanya, mereka melukis imej yang provokatif, karikatur satira, menghamburkan warna yang kuat (vibrant) dan cerah sebagai simbol amarah, mengguna pakai bentuk-bentuk geometrik dan kubik yang mudah namun tampak gah, palitan berus ekspresionis yang pantas, membawa semangat, tenaga dan optimisme pada era konflik. Dalam sejarah seni visual, selepas Manifesto Futurisme diisytiharkan pada 1909, gerakan seni Modenisme lahir dan tersebar ke seluruh Eropah melibatkan aktivis dari kalangan penulis, seniman, pereka bentuk dan juga arkitek. Kasimir Malevich menubuhkan Suprematisme di Rusia pada tahun 1915. Kemudian diikuti Dadaisme sebagai protes terhadap Perang Dunia Pertama. Selepas itu 'genderang perang'nya disambut pula gerakan De Stijl di Belanda, dipelopori oleh ahli teori Theo Van Doesburg, Piet Mondrian dan beberapa seniman lagi. Konstruktivisme, yang berkembang dari faham Suprematisme kemudian menjajah wilayah seni visual blok komunis Rusia. El Lissitzsky, adalah antara watak penting dalam gerakan seni Konstruktivisme dan beliau bertanggungjawab mereka cipta tipografi konstruktivis akibat disampuk oleh roh Revolusi.Sekiranya anda seorang pembaca buku generasi muda yang berjiwa 'liar dan angkuh', pasti pernah mendengar penerbit Thukul Cetak dan Cukong Press sebagai contoh. Lihat bagaimana artis pereka bentuk mereka menggunakan jenis tulisan gaya 'konstruktivis' dan memilih 'mood' warna dalam penghasilan poster. Komposisi dan reka letak yang menunjukkan dominan dan kekuasaan. Zaman sekarang mudah. Bagi pereka bentuk amatur atau profesional sekalipun, anda google sahaja fon yang sesuai untuk sebarang tema contohnya; 'stensil', 'nazi', 'komunis', 'sosialis', 'russia', maka berderet-deretlah capaian fon untuk anda pilih mana yang sesuai untuk poster 'melawan' anda itu. Juga lihat lagi pelbagai logo parti politik, NGO, syarikat penerbitan gerakan kiri (leftist) yang menggunapakai simbol genggaman tangan ke atas. Semua imej, simbol, ilustrasi mengikut tema perlawanan ini berkembang dari era Revolusi Bolshevik Rusia, Komunis Cina dan Revolusi Cuba era Fidel Castro. Ideologi kiri seperti sosialisme, komunisme, anarkisme adalah 'arch-enemy' kepada berhala moden kapitalisme namun era kini garis pemisah mulai kabur setelah hancurnya blok komunis Rusia dan juga kebangkitan kuasa ekonomi Republik China beberapa tahun kebelakangan.Dalam masa sama, kita toleh pandangan kita ke Timur Tengah pula. Lihat logo gerakan Hamas dan Hizbullah. Bagaimana pula dengan khat tulisan bahasa Arab? Reka bentuk panji gerakan pengganas IS dan ISIS menggunapakai ayat 'Lailaha illallah, Muhammadur Rasulullah' yang dicetak ke atas bendera hitam, disinonimkan dengan panji tentera Nabi Muhammad. Ironinya, khat ini juga tertulis atas bendera negara Arab Saudi yang dituduh mendanai gerakan pengganas Al-Qaeda. Saya sendiri pernah disyaki sebagai 'kafir' hanya kerna memakai baju yang tertulis 'Ya Hussein' dalam seni khat Nasta'liq gaya Parsi. Bagaimana pula jika saya memakai baju bertulis 'Ya Yazid' atau 'Ya Muawiyah'? Apakah persepsi masyarakat dari kalangan majoriti ASWJ (ahlussunah wal jama'ah) terhadap saya? Apakah pula simbol 'perlawanan' yang dipakai oleh seseorang 'fashionista' ketika menyarung baju berwajah stensilan Che Guevara, Che Det mahupun arwah Nik Aziz?Dalam dunia grafiti tempatan yang berkait rapat dengan tipografi, yakni seni menyembur cat aerosol atau mengecat tulisan dan perkataan – selalunya nama samaran (nom de guerre) senimannya sendiri – di dinding-dinding, tembok-tembok kawasan pembinaan yang terbengkalai, terowong-terowong jalanan, didapati tiada satu pun yang menekankan 'kenyataan politik' (political statement) yang kuat dan menjadi rujukan para seniman bidang lain. Selain semburan stensil kecil-kecilan dan tulisan cakar ayam semberono 'ABU', 'ABAI', 'Turun Tibai Rosmah', termasuk yang terikut-ikut dengan reka bentuk grafik jenama pakaian Obey, kebanyakannya agak hambar berbanding grafiti yang lebih menarik pandangan mata dari sudut estetika, contohnya oleh Acit dan kawan-kawan yang baru-baru ini mengangkat nama Malaysia menghasilkan grafiti di Karama, Dubai. Setakat sekarang hanya Fahmi Reza yang masih menonjol kekal dengan prinsipnya melawan 'kekuasaan' menggunakan bakat seni lukis. Lukisan dan tulisan tangannya menarik dan banyak dijadikan poster-poster forum politik, gig dan muka depan buku politikal misalnya terbitan Gerak Budaya. Ya, tidak dilupai kartunis Zunar yang masih saya kagumi stroke lukisannya sejak zaman Gila-Gila lagi.
BENTUK SEBAGAI TANDA
Apabila kita sedar bahawa sesebuah bentuk; yakni seni tipografi, grafik, catan maupun tulisan itu memberi tanda atau isyarat kepada pembaca dan khalayak untuk merungkai ideologi dan idealisme yang terkandung di dalamnya, maka apabila kita meletakkan diri sebagai khalayak selayaknya kita perlu bijak dalam menekuni dan menghakimi sesebuah karya, baik buku atau apa-apa seni visual tadi. Demi tidak mengulangi tragedi runtuhnya arca karya seniman negara Syed Ahmad Jamal, Puncak Purnama oleh perangai buta seni segolong manusia, kita seharusnya merenung dan berusaha mendidik diri dan kerabat terdekat tentang falsafah seni dan kepentingannya. Bagaimana seni itu duduk dalam keheningan yang kudus dan bagaimana pula ia boleh bangun memberontak dan melawan. Seni tipografi yang mulanya berdiri dan berbaris sebagai sebuah barisan huruf yang tenteram berupaya menjelma sebagai idea yang 'melawan', sebelum menerkam seumpama singa.
Notakaki:
Times New Roman adalah rupa taip serif dan dicipta oleh Victor Lardent pada 1931 untuk akhbar British, The Times. Ia adalah fon yang paling lazim digunakan dalam buku, perisian komputer Microsoft dan mana-mana kerja umum percetakan.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.

Ernesto Guevara (Che) di pejabatnya sebagai Menteri Perindustrian (di tingkat lapan Hotel Riviera di Havana), semasa ditemu bual oleh Laura Berquist untuk majalah Look. Foto oleh René Burri (1933-2014).

Renung-renungan cinta dan revolusi

– Projek Dialog, 2 Apr 2013

Pada suatu petang, Sal dan anak-anaknya berkumpul di ruang tamu untuk bermesyuarat tentang keruncingan belanja hidup mereka setelah tiga hari berturut-turut jualan makanan mereka di sebuah kantin di Bukit Timah Road, merosot kerana musim hujan. Sal kebingungan. Wang di tangannya cuma ada RM10 sahaja, jauh dari cukup untuk dijadikan modal jualan besok harinya. Wang sewa rumah bulan itu belum dilangsai. Kepala Sal betul-betul sudah pusing. Lalu anak-anaknya buat saranan: ‘Besok kita tak usah jualan, kita tunggu sampai hari tak hujan… Mak bolehlah berehat dulu…’
– Petikan buku Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari.
Sal yang dimaksudkan ialah isteri kepada Said Zahari. Said seorang wartawan yang dipenjarakan selama 6000 hari (bersamaan 17 tahun) oleh kerajaan Singapura pada 1963. Ini terjadi selepas dia diusir dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman akibat daripada Mogok Utusan yang dijalankannya bersama rakan-rakan wartawan. Penderitaan yang dialami para tapol (tahanan politik), segala ketidakadilan dek kekejaman diktator sudah tentu akan dirasai oleh kaum kerabat mereka juga. Bagaimana secara tiba-tiba pasangan kekasih, keluarga tercinta dipisahkan dengan begitu sahaja. Direntap dan ditahan tanpa bicara, bahkan bertahun lamanya!Jungkir ke belakang, beberapa tahun sebelum itu, di hutan pergunungan Sierra Maestra dalam wilayah Cuba. Seorang pejuang gerila anak kelahiran Argentina yang mesra digelar Che berkata kepada temannya, ‘Revolusi yang suci itu lahir dari rasa cinta nan hebat.’ Sebelum dia bersetuju mengikuti rakan baiknya Fidel memasuki Cuba secara haram dengan kapal layar untuk menjadi askar gerila, dia pernah mengembara bersama rakan karibnya Alberto Granado. Mereka menunggang motosikal Norton menjelajah Amerika Selatan sebelum berpisah kemudiannya. Granado pulang ke Buenos Aires manakala Che menyambung kembaranya hingga ke Guetamala City, pada masa sama Amerika Syarikat sedang mengebom kota itu untuk menjatuhkan kerajaan kiri Arbenz. Bertugas sebagai pegawai perubatan, di situlah jiwanya bergolak untuk menentang imperialis Amerika yang selalu mencampuri urusan pemerintahan negara-negara Amerika Selatan.Che Guevara tatkala dalam perang gerila, dialah komander dialah juga doktor yang merawat orang kampung yang tak punyai prasarana perubatan. Tambahan pula, dia menjadi guru mengajar kebanyakan gerila yang buta huruf. Tanpa rasa cinta kepada kebebasan, cinta kepada orang-orang miskin, tak mungkin dia menelusuri jalan berliku sebagai revolusioner sebelum mati ditembak ketika dalam tahanan di Bolivia. Kematiannya meletuskan api semangat cinta manusiawi terhadap gerakan kiri dan revolusi menentang sebarang bentuk imperialisme. Ironinya, wajah Che menjadi logo di baju-baju dan produk-produk berunsur pop moden yang tersebar ke serata dunia bertunjangkan ekonomi kapitalisme. Namun, fenomena itu secara tak sedar mencelikkan umum terhadap riwayat hidupnya menentang penindasan dengan tindakan revolusi.Melangkau jauh lagi ke belakang, suatu hari di tahun 1893, di stesen keretapi Pietermaritzburg, Afrika Selatan. Seorang peguam yang kurus bernama Mohandas Karamchand Gandhi mengalami satu peristiwa yang bakal mengubah diri beliau buat selamanya. Dia dihalang dari menduduki koc kelas pertama hanya kerana dilahirkan sebagai seorang berkulit gelap, bukan berkulit putih. Insiden ‘yang mahajelik’ itu berpunca daripada dasar apartheid yang diamalkan kerajaan kolonial British di Afrika.Beberapa tahun kemudian di tanah asalnya India, Gandhi mengubah diri menjadi sosok pejuang keadilan dan hak kesamarataan dengan melancarkan gerakan satyagraha (kuasa kebenaran) berkonsepkan ahimsa (kedamaian),sebuah perlawanan dengan kasta pemerintah tanpa sebarang unsur kekerasan. Pada 30 Januari 1948, beliau mati dibunuh. Kata-kata akhir yang terluah dari mulutnya ialah ‘Hey Rama’ (Oh Tuhan). Bapu, nama gelaran yang diberi oleh rakyat India kepadanya dijulang sebagai ‘bapa negara India’.Perasaan benci terhadap kezaliman dan penghinaan yang pernah dialaminya, dibalas dengan perjuangan berasaskan cinta. Begitulah riwayat seorang pejuang dari India yang mengangkat karya John Ruskin, Unto This Last sebagai naskhah yang amat mempengaruhi hidupnya.Leon Trotsky, sewaktu kanak-kanak pernah menangis teresak-esak melihat layanan buruk ayahnya kepada pekerja mereka. Nilai sentimental itu, atas rasa cinta kepada keadilan menjelmakan Trotsky menjadi pejuang Marxist yang senantiasa berkobar-kobar menghapuskan sistem kapitalis di Russia. Pernah menemui cinta pertama di penjara lalu dikurnia dua anak yang bernama Zina dan Nina, dia kemudian menjadi orang kanan Lenin sebelum dibuang negara sewaktu pemerintahan Stalin.Sebagai pengkritik keras dasar politik Stalinisme, dia juga mengakhiri hidup dengan terbunuh di tangan seorang ejen Russia ketika tinggal di Mexico. Seorang pengkagum Karl Marx dan Friedrich Engels, dia juga mengkagumi naskhah susastera umpamanya Iliad karya Homer.Dalam tradisi Islam, mustahil orang muslim tak kenal dengan seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Dzar. Dilahirkan dalam kabilah bani Ghifar, sebuah suku pada zaman pra-Islam yang terkenal amat liar, kasar dan pemberani. Mereka juga sering menghalang, mencegah dan merompak kafilah Arab yang dalam perjalanan. Abu Dzar kemudian memeluk Islam. Wataknya sudah tentu berubah. Dalam sebuah wirayat, Nabi pernah bersabda bahawa kesetiaan dan kejujuran Abu Dzar seumpama ‘cahaya terang-benderang’.Sebagai seorang yang mencintai Nabi, Abu Dzar sudah tentu mencintai kehidupan yang zuhud dan membenci sifat tamak lagi rakus. Bukankah itu intipati ajaran Islam? Dia bangun mengkritik bentuk pemerintahan Khalifah Rasyidin ketika itu Uthman bin Affan. Pada era pemerintahan khalifah Islam ketiga itu, didapati banyak orang-orang kaya dan penguasa menggunakan harta baitulmal demi kesenangan kerabat sendiri. Amalan kronisme berleluasa. Akhirnya, atas saranan gabenor Muawiyah, Sayidina Uthman mengusir Abu Dzar ke padang pasir apabila dia bersikeras tak mahu menghentikan pertentangan dan kritikannya. ‘Aku tak perlukan duniamu,’ jawab Abu Dzar terhadap pujukan Uthman sebelum diusir.Diceritakan, sebelum kematiannya, ada satu jemaah Haji sedang melalui berdekatan Abu Dzar dan isteri yang sedang terlantar sakit. Isteri Abu Dzar melambai memanggil mereka untuk meminta bantuan. Setibanya mereka, dia memohon kain kafan bagi suami tercinta yang sudah nazak. Dalam keadaan hampir sakarat itu pun Abu Dzar menolak pemberian daripada mereka sekiranya mereka terdiri daripada kalangan pegawai dan penguasa. Akhirnya Abu Dzar bersetuju selepas dihampiri salah seorang dari mereka yang mengaku bahawa kainnya ditenun oleh ibu sendiri. Betapa cermat dan tinggi cinta Abu Dzar terhadap kesucian dan keberkatan hidup hingga ke takat itu!Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad sendiri? Baginda dihina, dikeji, keluarganya dipulau dan ditentang sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Apa yang baginda perbuat setelah menakluki kota Mekah? Baginda membebaskan kesemua tahanan perang, dan memaafkan semua musuhnya. Tidakkah baginda merupakan contoh revolusioner sejati yang berjuang demi kecintaan terhadap kemanusiaan?Seorang revolusioner sentiasa menentang status quo. Dia itu takkan berhenti pada satu takah kehidupan dan berasa selesa dengannya. Api nyala cinta terhadap kemanusiaan di dalam dirinya sentiasa berkobar. Dia justeru seorang emosional dan punyai sifat sentimental yang tinggi. Adakalanya dia menjadi pesimis, lembut, dan ada masa dia keras, pemarah. Revolusioner adalah manusia biasa. Walaupun begitu, mereka takkan menjual perjuangan dengan harga yang murah. Mereka tidak akan mati dalam menjadi seorang selebriti tivi yang dipuja dan dibela oleh penguasa nan zalim. Revolusioner hidup seadanya. Fikiran mereka menerawang ke dunia utopia tatkala masyarakat umum terpukau dengan pesona materialisme di media perdana. Banyak daripada mereka adalah wira yang tak didendang. Kerna dalamnya cinta mereka terhadap kemanusiaan sejagat, insan revolusioner pasti akan menggemari tak kurang sebuah karangan puisi indah.Usman Awang, penulis cerpen Uda dan Dara juga menyindir dengan tajam berbisa dalam sajaknya berjudul 'Anjing' Itu. Ruhi Hayat adalah nama pena seorang sasterawan juga pejuang revolusi, Abdullah Thani bin Raja Kecil. Bakatnya dalam penulisan membentuk jati diri untuk menjadi pejuang kiri. Mengkagumi sosok nasionalis India, Subhas Chandra Bose, dia kemudian menukar nama menjadi Boestamam. Dia bersama API (Angkatan Pemuda Insaf) memperkenalkan slogan ‘Merdeka dengan Darah’ dalam gagasan mereka, justeru ditangkap oleh polis British ketika itu atas tuduhan hasutan. Walhal, tiada darah manusia yang ditumpahkan melalui penerbitan testamen politik tersebut.Hampir kesemua revolusioner, pejuang nasib golongan murbawan yang tertindas adalah mereka yang minat dengan pembacaan karya-karya agung dan kesusasteraan tinggi. Cinta mereka terhadap ilmu, kebenaran, dan kemanusiaan sejagat amat tinggi. Mereka membantah tindak-tanduk zalim oleh penguasa. Mereka menolak monopoli dalam ekonomi dan menentang dasar politik imperialis asing. Tidak semestinya mereka itu sentiasa bertindak balas dengan keganasan. Ada segelintir yang lembut dan berjuang untuk merubah struktur sosial melalui kebudayaan. Mereka menentang kekerasan dengan kekerasan, dan membalas kelembutan dengan kelembutan.Berbeza dengan pendapat Mao Zedong, katanya ‘sesebuah revolusi itu adalah kebangkitan, tindakan ganas masyarakat kelas bawah untuk menjatuhkan kelas atasnya.’ Sekiranya bukan dengan senjata, jalan ‘ahimsa’ sang revolusioner ialah berlawan dengan tulisan kata-kata, yang memang merupakan kuasa ampuh menjatuhkan mana-mana kerajaan zalim dan korup.Ayatollah Khomeini yang lebih 14 tahun hidup dalam buangan dulu pernah menuturkan tentang kekuatan penulisan apabila dijelmakan menjadi seperti peluru mesingan, berupaya menghancurkan kezaliman penguasa. Ini kerana, kebenaran berdiri dengan hujah. Walaupun penguasa zalim membariskan tentera demi menundukkan kebangkitan rakyat, kata-kata yang benar adalah gelombang yang sentiasa kekal melantun dari mulut ke mulut, telinga ke telinga, jiwa ke jiwa. Akhirnya ia menjadi ombak besar yang tak dapat dihalang oleh sebarang empangan.‘Dunia hari ini akhirnya adalah kepunyaan anak muda. Lakukanlah apa sahaja. Dan lakukan sekarang.’ Begitu kata Hishamuddin Rais, seorang Melayu sosialis tentang hal revolusi. Mohon untuk saya memberi sedikit tambahan, ‘anak muda, lakukanlah dengan rasa cinta demi keadilan, kemanusiaan dan kebenaran.’


*Pautan asal boleh dibaca di sini.

© 2024. Direka bentuk oleh M. Farez.
Foto profil oleh Adib Zulkifli.